Tazkirah Untuk Kita Semua..
DALAM satu hadis yang diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa: "Barang
siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka
Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu."
Mendirikan malam al-Qadar
bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya
daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam
yang penuh kebaikan dan keberkatan. Ada beberapa amalan yang dilakukan
oleh Rasulullah saw dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk
mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:
A . Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim
bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan
melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata
bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.
Demikian pula beberapa riwayat
daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in
menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan
berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan
oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk
menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa
mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.
b. Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.
Imam Bukhari dan Muslim
meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah
apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan
menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat
pinggangnya.”
Sahabat dan ulama berbeza
pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka
bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang
terakhir Ramadan.
Ibadat yang biasa dilakukan pada
malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran.
Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin
`Ash bermaksud: “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca
10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang
lalai.” Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang
akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan
bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca
al-Quran dengan tertib.
Baginda tidak akan melalui ayat
rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak
melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah
daripada azab itu.
Solat berjemaah juga sangat
diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie
berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam
al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya
orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah
mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya
dengan amalan lain sepanjang malam itu.
Selain solat dan membaca
al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasul dengan
beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini
berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,
bermaksud:”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai
Baginda wafat.”
c. Memperbanyak doa.
Rasulullah bersabda doa adalah
otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah
diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam
terakhir Ramadan. Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan
at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam
al-Qadar.
Ulama bersepakat bahawa doa yang
paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan
kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan
Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun
tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah
Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”
Pada malam itu Allah akan
mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan
manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima
terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa,
orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”
Sumber:
No comments:
Post a Comment